Background PDTSPS

Background Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan

Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan telah ditubuhkan sebelum tahun 1902. Pentadbiran asalnya berpusat di pekan Bukit Tambun, Simpang Ampat. Penubuhan pejabat ini pada asalnya adalah sebagai pelabuhan kerana di sini terdapat penanaman bunga cengkih dan buah pala. Kemudian, pada tahun 1924, pusat pentadbirannya telah berpindah ke Nibong Tebal atas desakan penduduk di Sungai Acheh, Sungai Bakap dan penduduk Nibong Tebal itu sendiri. Sebenarnya bangunan Pejabat Daerah Nibong Tebal menempatkan 13 buah jabatan kerajaan dan separa kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pejabat Penerangan, Pejabat Pertanian, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kadi, Pihak Berkuasa Air, Pejabat Pendaftaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pejabat Kemajuan Masyarakat, Pejabat hubungan masyarakat, Ikatan Relawan Rakyat dan Kelas Perpaduan Rakyat.
 
Setelah hampir 56 tahun Pejabat Daerah di Nibong tebal ini beroperasi ia telah menjadi semakin uzur, sesak dan sempit akibat kakitangannya yang semakin bertambah di samping pembangunan yang sedang pesat berkembang. Oleh yang demikian pejabat ini memerlukan sebuah kawasan lapang yang baru untuk dibangunkan bagi tujuan keselesaan semua pihak. Memandangkan keadaan tersebut,maka kerajaan negeri telah merancang semula pembinaan sebuah bangunan baru kompleks Pejabat Daerah dan Tanah dalam Rancangan Malaysia ketiga yang bertempat di Jawi.
 
Akhirnya, pada 1 september 1979, pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal telah berpindah ke bangunan baru bertempat di Sungai Jawi. Kompleks ini terdiri daripada dua blok bangunan tiga tingkat yang mengandungi pejabat-pejabat kerajaan negeri persekutuan, badan berkanun, kantin dan setor.
 
Namun, pada 28 april 2003, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan sekali lagi telah berpindah ke bangunan baru satu blok dua tingkat bersebelahan dengan bangunan lama Pejabat Daerah. Tujuannya adalah untuk memudahkan lagi para pelanggan untuk berurusan dengan pejabat daerah dan tanah. Pada tingkat bawah pejabat ini telah dikhaskan untuk urusan yang berkaitan dengan pentadbiran tanah, manakala di tingkat atas pula adalah untuk urusan pentadbiran tanah.